Sunday, October 12, 2014

Air Mata Kassala

Warkah buat anak-anakku dari bumi Kassala.
Nukilan: Dr Azman Ibrahim
Ahli delegasi ke Sudan sempena Qorban & Aqiqah 2014

Coretan ini Papa catatkan di atas kenderaan yang sedang melalui jalan yang berlubang-lubang dan berbatu dalam perjalanan keluar dari Perkampungan Shagarab, perkampungan yang menempatkan ratusan ribu pelarian setelah selesai menyempurnakan ibadah qorban dan aqiqah pada 5 Oktober ketika kami di Sudan menyambut hari kedua Aidil Adha sementara anak-anak ku di Malaysia menyambut hari raya pertama.

Anak-anak ku yang dikasihi
Bagaimana setiap pagi Papa kejutkan kalian semua untuk ke sekolah sebelum azan subuh berkumandang. Bersiap dengan uniform yang telah disediakan rapi oleh Ummi yang tak pernah jemu walau sedetik melayan dengan penuh kasih sayang.

Tapi anak-anak pelarian di Kassala tak begitu. Mereka cuma ada 3 sekolah yang sangat dhoif. Pelajarnya tak sampai 2,000 orang. Sedangkan anak-anak di sini jumlahnya puluhan ribu.

Mereka juga mengimpikan utk merasai seronoknya alam seronoknya persekolahan seperti anak-anak semua. Ada cikgu,  ada kawan-kawan, ada perpustakaan, ada padang permainan, ada uniform sekolah, boleh pergi rombongan lawatan, ada hadiah bila berjaya dan macam-macam lagi. Semua itu adalah mimpi yang tak menjadi kenyataan di sini.

Ketika Papa sediakan kalian dengan alat tulis yang lengkap, sekolah di sini tak ada kertas, pen dan pensil. Jauh sekali nak kenal pensil warna. Mereka hanya menulis di atas papan. Ada ketikanya sekadar menulis di atas tanah.

Ketika anak-anak ku dah mahir dengan bermacam-macam permainan kereta kontrol, komputer,  internet,  android dan entah apa-apa lagi, Papa lihat di sini bagaimana anak-anak pelarian mereka berebut-rebut sehingga terjatuh berguling-guling. Bukan kerana merebut kereta kontrol, yang mereka rebut sehingga bergaduh hanyalah sebiji belon. Betapa sukanya mereka bila dapat sebiji belon lalu ditiup dengan penuh perasaan. Betapa Papa melihat di sini, sebiji belon mampu membuatkan seorang kanak-kanak gembira.

Ketika anak-anak ku ada 3, 4 pasang selipar dan kasut setiap seorang, anak-anak di sini hanya berkaki ayam yang bersalut lumpur. Mereka tak kenal kasut atau selipar. Mereka melangkah dan terus melangkah menelusuri kehidupan yang tak pasti mencari sinar yang entah di mana.

Ketika anak-anak ku selalu komplain tak mahu makan nasi sebab Ummi tak masak ayam, di sini anak-anak hanya kenal daging sekali setahun. Itu pun dengan ihsan mereka yang bermurah hati menghulurkan secebis simpati. Melihat tubuh dan wajah cengkung mereka, dapat dibayangkan mereka lebih kerap berlapar dari kenyang. Sampai hati kita membiarkan di rumah kita makanan selalu berlebihan tapi di sini saudara seagama kita kelaparan. Adilkah kita wahai anak-anak ku?

Ketika anak-anak ku fasih menyebut perkataan KFC, Pizza Hut dan entah apa-apa lagi, di sini anak-anak pelarian sanggup mengejar kenderaan yang Papa naiki hanya untuk mendapatkan sebiji gula-gula yang nilainya tak sampai 5 sen. Betapa Allah mengurniakan kepada kita nikmat yang sangat banyak. Nikmat ini perlu dikongsi. Kerana itulah Papa tinggalkan seketika anak-anak yang disayangi untuk ke sini. Pelajaran yang mahal akan nilai kehidupan serta kemanusian ada di bumi bergolak ini. Inilah bumi Kassala.

Anak-anak ku yang dikasihi.
Bolehkah kita bayangkan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di satu kawasan yang kotor.  Permainannya hanya menyepak gumpalan rumput yang diikat bulat seperti bola. Mereka juga ingin bermain dan bergembira seperti kita. Itu naluri seorang kanak-kanak seperti juga Abang, Afiq, Amirul dan Amzar. Tapi mereka tak punya bola,  tak punya raket badminton, tak punya bad ping pong, tak punya catur dan tak punya apa-apa. Sedih bukan?

Ketika anak-anak dihantar dan dijemput dari sekolah dengan kereta. Sedikit lewat Papa sampai, wajah sudah berubah muram. Di sini kenderaan mereka yang paling mewah ialah kereta keldai. Keldai inilah teman baik mereka. Membawa barangan dan muatan. Tetap setia berkhidmat dengan tuannya walaupun penat dan meletihkan. Bayangkan macam mana kalau kita pergi sekolah dengan kereta keldai...

Sukarelawan Amal

Sukarelawan Amal
Sukarelawan Amal